Memperhebat peranan PPA


  AGAMA Islam menganjurkan umatnya melakukan kebaikan dan menjauhi kemungkaran. Justeru, sebagai pesanan dan peringatan kepada umat Islam agar terdidik hati mereka dan terhindar daripada melakukan perkara yang ditegah oleh syariat Islam, suatu undang-undang yang dikenali sebagai undang-undang kesalahan jenayah syariah digubal oleh negeri-negeri untuk maslahat umat Islam. Penggubalan undang-undang tersebut berdasarkan kuasa yang diberikan kepada negeri-negeri di Malaysia melalui Butiran 1, Senarai II Senarai Negeri Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan. 
Pelantikan Pegawai Penguat Kuasa Agama (PPA)
Selaras dengan penggubalan undang-undang tersebut, maka penguatkuasaan undang-undang jenayah syariah juga perlu dimantapkan dan diperkasakan untuk membendung serta mencegah umat Islam daripada melakukan kesalahan jenayah syariah bagi mencapai maqasid syariah iaitu penjagaan agama, harta, akal, jiwa dan juga keturunan.  

Penjelasan terhadap keperluan penguatkuasaan undang-undang syariah dapat dilihat melalui Surah Ali Imran, Ayat 104 yang bermaksud:  "Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan orang yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah daripada yang mungkar. Dan mereka itulah orang yang beruntung."
Berdasarkan ayat tersebut, dapat difahami perlu ada segolongan orang daripada kalangan umat Islam yang melaksanakan urusan menyeru kepada kebaikan dan melaksanakan urusan mencegah kemungkaran, sekalipun urusan itu dipertanggungjawabkan ke atas setiap individu umat Islam. 
Oleh itu , pelantikan pegawai penguat kuasa agama (PPA) oleh Majlis Agama Islam Negeri-Negeri, adalah bertepatan dengan perintah Allah seperti yang dinyatakan dalam petikan ayat al-Quran di atas. Pelantikan PPA itu dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang syariah yang sedang berkuat kuasa di negeri-negeri. Sebagai contoh, PPA di Wilayah Persekutuan dilantik di bawah subseksyen 58(4) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505]. 
Peranan PPA
Secara umumnya, peranan dan tanggungjawab PPA adalah untuk menguatkuasakan peruntukan undang-undang syariah seperti undang-undang kesalahan jenayah syariah, undang-undang pentadbiran agama Islam, undang-undang keluarga Islam dan undang-undang syariah lain yang sedang berkuat kuasa di negeri-negeri. 
Secara khususnya PPA bertanggungjawab untuk menguruskan maklumat dan aduan yang diterima, membuat risikan, melaksanakan tangkapan, membuat siasatan dan melaksanakan tindakan pencegahan jenayah syariah seperti membuat rondaan berjadual serta pemantauan ke atas premis yang diadukan atau disyaki sebagai tempat berlakunya maksiat atau kesalahan jenayah syariah. 
Di samping itu PPA juga bertanggungjawab untuk menguruskan pelaksanaan waran tangkap, waran geledah atau apa-apa perintah atau arahan Mahkamah Syariah serta menguruskan orang yang ditahan dan orang yang dituduh, termasuk mengiringi mereka ke lokap, penjara, pusat tahanan atau pusat pemulihan sebagai mana yang diperintahkan oleh Mahkamah Syariah.
PPA turut bertindak sebagai petugas barisan hadapan (frontliner) sepanjang pandemik Covid-19 di negara ini. Mereka melipatgandakan rondaan dan pemantauan ke atas masjid dan surau bagi memastikan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikeluarkan kerajaan dapat dipatuhi khususnya yang membabitkan aktiviti keagamaan sama ada di masjid, surau dan sebagainya. 
Tugas yang diamanahkan kepada PPA amat mencabar serta memerlukan pengorbanan dan komitmen yang sangat tinggi. Mereka perlu bersiap siaga pada setiap masa untuk memastikan aduan yang diterima dapat diambil tindakan dengan segera dan mengikut lunas undang-undang. Tindakan tersebut termasuk menyantuni orang yang diadukan dengan memberi nasihat dan teguran atau menahan dan menyiasat orang yang disyaki melakukan suatu kesalahan jenayah syariah.
PPA juga turut terdedah dengan pelbagai ancaman yang boleh membahayakan keselamatan diri dan keluarga seperti diugut, diancam dengan senjata, diserang dengan parang, diherdik, diekori dan sebagainya. Contoh kes yang membabitkan nyawa PPA ialah kematian Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama akibat ditembak pada 2013. 
Pemerkasaan PPA
Sejajar dengan kepentingan dan peranan PPA, diharapkan agar kedudukan PPA dan institusinya dapat diperkasakan supaya ia dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan agensi penguat kuasa yang lain seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) dan lain-lain. Dalam masa sama memartabatkan PPA dan institusinya agar segala tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan demi kesejahteraan ummah dan negara, diiktiraf dan tidak dipersoalkan.
Antara cadangan pemerkasaan PPA termasuk mewujudkan skim dan undang-undang khusus untuk PPA serta menambahbaik dan melengkapkan keperluan dan fasiliti PPA seperti pakaian seragam, senjata api, kenderaan dan peralatan bantuan yang lain. Selain itu, PPA juga perlu diberi peluang dan ruang untuk mempertingkatkan kompetensi diri melalui kursus dan latihan intensif serta diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran terutama dalam bidang perundangan. PPA perkasa, ummah terjaga, Islam terbela, Allah pun suka.