Sebelum ni PATI, kali ni Ayob Khan tahan anggota Macau Scam
Johor Bahru: Seramai 43 individu, termasuk 41 warga China, yang terbabit dengan sindiket Macau Scam ditahan di sebuah hotel di Kluang dekat sini, jam 10 pagi tadi.
Ketua Polis negeri Datuk Ayob Khan Maydin Pitchay mengetuai operasi itu.
Menurut Ayob Khan, hasil risikan serta maklumat awam, sindiket terbabit sudah beroperasi hampir dua bulan di Kluang.
"Sebelum ini, sindiket terbabit beroperasi di Kuala Lumpur dan Johor Bahru. Mereka beroperasi bermula jam 8.30 pagi hingga jam 5.30 petang dan mensasarkan warga China di China.
"Kami menahan 43 suspek terdiri daripada 39 lelaki warga China, dua wanita warga China dan dua wanita tempatan berumur 18 hingga 40 tahun.
"Turut dirampas 35 komputer riba dan 593 telefon bimbit," katanya pada kenyataan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) (C) Akta Imigresen 1959.
Menurut Ayob Khan, pihaknya akan terus mengesan dalang dan saki baki ahli sindiket yang masih bebas.
